• Joget Pahang lenggok tarian,

  • Lagu mabuk si kunang-kunang,

  • Ketuk keromong seni gamelan,

  • Irama nusantara warisan bertandang...

Thursday 8 May 2014

Rujukan

Buku
Ahmad Farid Abd Jalal. (2008). Joget Pahang~Gamelan Melayu The Classical Ensemble of The Pahang Royal Court.  Pahang : Lembaga Muzium Negeri Pahang

Sir Frank Athelstane Swettenham. (1878). “A Malay Nautch”, Journal of the Straits Branch of the Royal Asiatic Society JSBRAS 2, halaman 163 - 167.

Mohd Mukhtar bin Abu Bakar. (1982). Joget Pahang: Satu usaha menghidupkannya kembali
Jurnal ‘Pahang dalam Sejarah’, Bilangan 1, halaman 28 - 29 Pekan: Lembaga Muzium Negeri Pahang


Laman Web
Bernama. (19 Sept, 2013).  LMNT Anjur Festival Gamelan Sedunia 2013 Martabatkan Seni Gamelan. Di muat turun pada 31 Mac 2014 dari laman web https://my.news.yahoo.com/lmnt-anjur-festival-gamelan-sedunia-2013-martabatkan- seni-101315042.html

MOTAC. (Januari 4, 2014). Pelancaran Gilang – Gemilang Tahun Melawat Malaysia 2014. Dimuat turun pada 1 Mac 2014 dari laman web http://www.motac.gov.my/bm/media/siaran-media/706-pelancaran-gilang-gemilang-tahun-melawat-malaysia-2014.html
Pesona Terengganu. (Oktober 29, 2010). Sejarah Gamelan Melayu. Retrieved March 31, 2014 dari laman web http://pesonaterengganu.blogspot.com/2010/10/sejarah-gamelan-melayu.html

Riesna Zasly. (2012). Warisan Gamelan Melayu – Timang Burung. Di muat turun pada 31 Mac 2014 dari laman blog  http://riesnazasly.blogspot.com/2012/03/warisan-gamelan-melayu-timang-burung.html


Notasi Dan Lagu

Menurut Ahmad Farid (2008), muzik Gamelan Melayu tiada dokumentasi atau notasi yang dibuat secara formal kerana ia disampai melalui percakapan yang disampai kepada generasi ke generasi dan hanya pada sekitar tahun 1960-an barulah muzik gamelan itu di notasikan secara formal. Seterusnya dalam memartabatkan Gamelan Melayu, muzik tradisi ini terus dipelihara dan di ajar kepada generasi-generasi oleh tenaga pengajar yang mempunyai kepakaran dalam bidang muzik gamelan dan juga orang – orang kuat tradisi “pencinta gamelan’. Berikut antara stail dan teknik yang telah diilustrasikan dengan kaedah “Generix Expression”.

Contoh 1 :
                                    |  1       1         2          3  |   5     3       2      1  |

Notasi ini ditunjukkan secara dalam konsep yang lebih mudah yang tidak merujuk kepada instrument tertentu. Di mana notasi ini boleh dimainkan oleh pemain dengan menggunakan semua instrumen gamelan. Nada ini diajar pada peringkat permulaan kepada pemain bagi memudahkan pemain  mudah mentafsir melodi.


5.1       NOTASI LAGU “TIMANG BURUNG”

Lagu Timang Burung merupakan lagu asas yang di ajar kepada pemain dengan menggunakan konsep asas “Generis Expression”. Biasanya pemain akan mula bermain dengan belajar mengetuk alat gamelan berdasarkan nota asas tersebut,

                   |  -   5  5  2  |  3 2  3  5   |  -  3  5  6  |  5  3  2  5  |
                   |  -   5  5  2  |  3 2  3  5   |  -  3  5  6  |  5  3  2  3  |
                   |  -   3  2  1  |  1  2  3  1  |  3  2  1  1  |  5  6  i  2  |
                   |  -   2  2  3  |  6 5  3  2   |  3  2  1  1  |  5  5  3  5  |


5.2       LIRIK LAGU TIMANG BURUNG

Lagu Timang Burung[1]  ini sangat popular dan boleh dikatakan lagu wajib di mainkan di upacara-upacara perkahwinan dan persembahan di sesebuah acara.

Timang-timang burungku sayang
Mari ku timang , mari ku dendang
Hati rindu pada cik abang
Siang malam terbayang-bayang

Timang burung,
Anak raja turun ke taman

Timang-timang burung terebang
Hinggap mari di dahan kayu
Wajah tuan terkenang-kenang
Tidur tak lena, makan tak lalu

Timang burung
Ala sayang si lambang sari

Anak merbuk, anak merpati
Turun mari di atas dahan
Abang seorang kekasih hati
Tiada yang lain darimu tuan

Timang burung,
Anak raja turun ke taman

Anak tiong terbang sekawan
Turun mari dahan berduri
Di angin lalu ku kirim pesan
Rindu ku tanggung seorang diri

Timang burung,
Ala sayang si lambang sari

Burung nuri terbang tinggi
Turun mari di atas dahan
Mari-mari kekasih hati
Aku rindu padamu tuan

Timang burung
Anak raja turun ke taman



[1] Riesna Zasly. (2012). Warisan Gamelan Melayu – Timang Burung. Di muat turun pada 31 Mac 2014 dari laman blog  http://riesnazasly.blogspot.com/2012/03/warisan-gamelan-melayu-timang-burung.html

Instrumen Gamelan Melayu

Gamelan Melayu biasanya dimainkan dengan menggunakan 9 jenis instrumen yang terdiri daripada 7 jenis alat muzik utama iaitu keromong yang juga dikenali sebagai bonang, gambang, saron demung, kenong, gong kecil dan gong besar dan 2 jenis alat muzik dari kumpulan saron iaitu saron barung dan saron peking[1].



 KEROMONG


Keromong atau bonang merupakan alat muzik daripada kategori idiofon yang mempunyai bentuk seperti kendi ‘kettle shaped dan sifat bunyinya yang berprinsipkan  kepada dengung. Terdapat 12 biji gong yang bersaiz kecil di susun di atas tempat yang dicipta khas untuk peralatan muzik tersebut. Keromong merupakan alat utama yang akan memulakan muzik pembukaan kemudian diikuti oleh instrumen gamelan yang lain. Gong yang berukuran kecil dan diperbuat daripada gangsa merupakan alat melodi utama dalam ensembel gamelan.

GAMBANG
               


Gambang terdiri dari sejumlah kepingan kayu keras yang diletakkan di atas kotak kayu yang berfungi sebagai penyalun bunyi. Kepingan-kepingan kayu tersebut dipukul dengan sepasang pemukul kayu yang berbalut. Setiap bilahan kayu tersebut dipukul kepada pic-pic tertentu. Alat muzik ini merupakan salah satu alat utama yang dimainkan dalam ensemble gamelan.

 SARON
Saron Demong

Saron Barung

Saron Peking

Saron terdiri daripada tiga jenis iaitu saron demong, saron barung dan saron perkin. Setiap saron dapat dibezakan dengan saiz dan juga bunyi yang berbeza. Kumpulan saron ini terdiri daripada 6 bilah gangsa yang di susun dan dipukul menggunakan penukul yang dicipta berdasarkan bunyi pic – pic tertentu. Saron Demung mempunyai saiz lebih besar berbanding saron barung dan Saron Peking. Manakala Saron Peking mempunyai saiz yang lebih kecil. 6 bilah gangsa yang terdapat pada saron disusun mengikut bunyi 1, 2, 3, 5, 6 dan i.

 KENONG

Kenong sejenis alat yang diperbuat daripada gangsa dan berfungsi sebagai alat kolotomik dalam muzik gamelan. Mempunyai pic yang tetap iaitu ‘fixed –pitch’ yang diasaskan kepada ‘western  tempered pitch’. Terdiri daripada 5 biji gong bersaiz sederhana yang disusun mengikut bunyi 1, 2, 3, 5, 6 (Bunyi i diganti dengan 1). Memandangkan alat Kenong diletakkan ditempat yang lebih tinggi maka pemain memerlukan tempat duduk untuk yang sama tinggi dengan alat ketika memainkan instrumen Kenong ini.


Kenong


GENDANG

Gendang

Gendang merupakan salah satu alat muzik tradisional yang sangat signifikan dalam masyarakat melayu. Gendang merupakan alat muzik yang terpenting dalam ensembel  muzik tradisional Melayu seperti Wayang Kulit, Menora  dan Gamelan. Permukaannya diperbuat daripada kulit kambing atau lembu yang diregangkan menggunakan rotan. Baluhnya diperbuat daripada jenis kayu keras seperti kayu nangka atau merbau.


 GONG

Terdapat 2 jenis gong yang berbeza daripada segi saiz yang di panggil sebagai Gong besar dan Gong Kecil. Alat muzik ini diperbuat daripada logam seperti gangsa, tembaga  atau besi dengan menggunakan teknik acuan. Gong digantung pada rak kayu dan dipukul pada bahagian busut dengan menggunakan sebatang  pemukul kayu yang berbalut. Gong merupakan alat utama yang menjadi pelengkap utama sesuatu gubahan muzik gamelan.


Kedudukan Gong Besar ( kanan) dan Gong kecil (kiri)




[1] Maklumat diperolehi daripada Unit Perpustakaan dan Bahagian Pengurusan Koleksi, Jabatan Muzium Malaysia dan gambar instrumen Gamelan Melayu merupakan alat muzik diambil di Bilik Latihan Muzik Gamelan Cendanasari, Jabatan Muzium Malaysia.

Perbezaan Gamelan Melayu Dan Gamelan Jawa

Menurut Ahmad Farid Abd Jalal (2008)[1], gamelan boleh didefinisikan sebagai perkataan yang berasal dari kedua-dua bahasa asli moden dan purba Indonesia yang mempunyai semua makna seperti bermain muzik, memukul seperti dram, orkestra dan gangsa. Perkataan ‘Gamel’ membawa maksud untuk tujuan memukul atau tukul tetapi masyarakat Jawa kemudiannya menggunakan perkataan tersebut bermaksud bermain alat muzik. Walaubagaimanpun, di Malaysia gamelan dirujuk sebagai satu kesatuan yang terdiri daripada beberapa instrumen yang di palu dan kadang-kadang ia boleh diiringi dengan alat muzik dari jenis tali atau alat tiup. Merujuk kepada Ahmad Farid Abdul Jalal dalam penulisannya yang berjudul “Joget Pahang ~ Gamelan Melayu” menyatakan terdapat perbezaan diantara Gamelan Melayu dengan Gamelan Jawa yang dinyatakan seperti berikut :

KATEGORI
GAMELAN MELAYU
GAMELAN JAWA
Asal - Usul
Gamelan Melayu dikatakan berasal dari kerajaan Srivijaya pada abad ke – 7 dan ke – 13 yang kemudiannya berkembang ke Kesultanan Diraja Riau. Pada tahun abad ke – 19, gamelan telah di bawa ke Pahang dan Gamelan Melayu merupakan antara  alat muzik yang tertua yang dijumpai di Semenanjung Malaysia.
Gamelan Jawa dikatakan kesinambungan muzik yang berterusan yang ditemui pada zaman Majapahit. Bukti awal berkenaan alat muzik gamelan adalah berdasarkan kepada satu siri batu ukiran yang di Candi Borobodur di Jawa Tengah sekitar 800 tahun sebelum Masihi.
Fungsi
Muzik gamelan wujud terutamanya di kalangan kelas pemerintah dan telah diwariskan kepada Istana Penyengat, Riau, ke Istana Pahang dan kemudiannya ke Istana Terengganu.  Peranan asal gamelan ini adalah sebagai iringan kepada tarian yang dikenali sebagai Joget Pahang. Ia biasanya dilakukan untuk tetamu diraja pada majlis-majlis khas.
Muzik gamelan berfungsi sebagai muzik iringan kepada persembahan Jawa yang popular seperti wayang kulit, barongan dan kuda kepang.

Gamelan dimainkan sebagai muzik rakyat untuk keseronokan awam di ruang terbuka dan dilakukan semasa acara-acara seperti kelahiran, perkahwinan, perayaan menuai dan sebagainya

Alat Muzik
Alat muzik Gamelan Melayu terdiri daripada tujuh instrumen utama seperti gendang, keromong, gambang, saron demong, saron barung dan sepasang gong agung dan gong suwukan.
 Terdapat lebih daripada 19 hingga 20 jenis alat muzik yang digunakan dalam sesebuah orkestra. Sebahagian alat tersebut menyerupai alat Gamelan Melayu dan selebihnya adalah termasuk slentem, kempul, ketuk, gender, celempung, suling dan rebab.
Melodi/Tona
“Anhemitonic Pentatonic” skala (slendro)
Tona Slendro dan pelog
Pengaruh Agama
Gerakan tarian Gamelan  Melayu dipengaruhi perbuatan amalan sewaktu mengerjakan ibadah haji.
Muzik dan tarian Gamelan Jawa mempunyai dipengaruhi oleh dengan Wali Songo (sekumpulan ahli agama menjadi figura kepada masyarakat Indonesia). 9 jenis tona pelog (1,2,3,4,5,6,7, 7-bawah dan 1 atas) merupakan signifikan terhadap 9 orang Wali Songo yang mana menggunakan gamelan sebagai alat dakwah untuk menyebar agama Islam.
Tradisi Persembahan
Gamelan Melayu bermula dengan sekumpulan orang yang memperkenalkan penarinya sekali. Sebagai contoh lagu ayak-ayak mengiringi bersama tarian pembukaan dan kemudian lagu Lolo dan Lonang. Selepas pembukaan lengkap dengan penari, jalan cerita yang spesifik dan begitu juga dengan tona instrumen akan di mainkan jika perlu. Gamelan Melayu menggunakan “prop” sebagai tambahan yang biasa digunakan dalam persembahan.
Persembahan dimulakan dengan upacara sajian. Ketua gamelan akan mengetuai upacara sembah  dengan membakar kemenyan, membaca jampi dan mengunyah sireh daripada dulang sajian. Di akhir upacara sembah ini, dulang akan diletakkan di belakang skrin pentas dan persembahan di jalankan dengan tarian serimpi, kupu-kupu atau lilin. Secara umumnya, tarian tersebut disediakan sebagai selingan kepada persembahan utama Ludruk atau Ketoprak. Selingan tersebut termasuklah nyanyian, silat, komedi dan juga alat instrumen muzik gamelan.



[1] Ahmad Farid Abd Jalal. (2008). Joget Pahang~Gamelan Melayu The Classical Ensemble of The Pahang Royal Court.  Pahang : Lembaga Muzium Negeri Pahang

Sejarah Gamelan Melayu

Sejarah menunjukkan bahawa Gamelan Melayu mula diperkenalkan pada tahun 1811 apabila sekumpulan penari dan pemuzik bersama instrumen muzik gamelan di bawa dari istana Riau-Lingga untuk menyerikan majlis perkahwinan diraja iaitu Wan Esah adinda kepada pemerintah Pahang. Bendahara Tun Ali (1806 – 1857) dengan Tengku Hussain putera sulung kepada sultan Riau-Lingga (Sultan Mahmud Syah III (1761 – 1812) yang berlangsung di Pekan, Pahang. Seni dan budaya persembahan Gamelan Melayu ini terus berkembang di negeri Pahang dan dikenali sebagai “Joget Pahang” dan perkembangan muzik gamelan turut digambarkan dalam penulisan Frank Swettenham (pegawai British) yang berjudul “A Malay Nautch” yang menjadi tetamu istana Sultan Ahmad al-Muadzam Shah (1882-1914) pada tahun 1875 di Pekan, Pahang sebagai sesuatu yang unik dan sangat berharga yang jarang dilihat oleh orang Eropah.


"Had the performance I now describe nearly resembled any of those commonly seen here, or in the Peninsula, there could be little interest in this description, but in the belief that the sight as I saw it is a rare one, seldom witnessed by Europeans, and so far undescribed, I have ventured to offer it, as it may, to some, be interesting."
Sir Frank A. Swettenham
'A Malay Nautch' - a paper read at a meeting of the Straits Branch
of the Royal Asiatic Society in Singapore, August 1878.


            Menerusi persembahan di upacara perkahwinan, kesenian gamelan ini terus berkembang di negeri Terengganu sebagai hiburan eksklusif bagi keluarga diraja. Di mana Joget Pahang dipersembahkan di majlis perkahwinan Tengku Long, puteri Sultan Ahmad dengan Sultan Zainal Abidin III (1881 – 1918) dari Terengganu pada 1885 dan Baginda telah tertarik kepada seni gamelan dan meneruskan kesenian gamelan Melayu ini di istana Terengganu. Tengku Ampuan Mariam, puteri Sultan Ahmad telah berkahwin dengan Tengku Sulaiman (1875 – 1942), putera Sultan Zainal Abidin III dan bersama-sama pasangan diraja Terengganu ini telah mengangkat seni gamelan Melayu ke zaman kegemilangannya (1914 – 1942). Malangnya seni dan budaya Gamelan Melayu lenyap seketika apabila berlaku Perang Dunia II (1941) dan penaungnya Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah telah mangkat pada tahun 1942 dan sejak ketika itu, set gamelan telah tersimpan sepi di Istana Kolam yang merupakan kediaman Tengku Ampuan Mariam.

Tan Sri Dato’ Dr. Hj. Mubin Sheppard merupakan Pengarah Muzium Negara (1958 – 1963) telah menemui instrumen gamelan apabila beliau menjalankan kajian seni ukiran Melayu di Istana Kolam dan telah tercetus idea untuk menghidupkan semula seni gamelan tersebut. Setelah diperkenan izin daripada Tengku Ampuan Mariam, beliau berusaha menghimpunkan semula pemuzik-pemuzik lama seperti Encik Muhammad bin Ismail (Pak Mat) seorang pemuzik istana pada suatu ketika dahulu dan penubuhan kumpulan penari yang di beri tunjuk ajar oleh Puan Adnan binti Abdullah (Mak Nang) yang merupakan bekas penari istana. Kumpulan gamelan baru yang ditubuhkan itu, dikenali sebagai Orkes Gamelan Diraja Terengganu dan telah membuat kemunculan pertamanya pada tahun 1969 di Pesta Muzik dan Drama Asia Tenggara dan Temasya (1970) yang berlangsung di Universiti Malaya, Kuala Lumpur.


Demikian sejarah menceritakan segalanya dan pada tahun 1973 set gamelan di Istana Kolam telah diserahkan kepada kerajaan Pahang dan kini dipamerkan di Muzium Sultan Abu Bakar di Pekan, Pahang. Di sebalik instrumen yang dipamerkan itu tidak ternilai harga kerana ia merupakan seni warisan yang terpendam yang perlu terus dihayati dan  keindahannya untuk generasi akan datang.

Sunday 27 April 2014

Seni Dan Budaya Gamelan Melayu



The Gamelan Melayu’ : Malay Classical music as played by the Royal ensemble, has an inherent mystical uniqueness and is a legacy left by the generation past, and which prevails in our midst today…”
                                                                                            Ahmad Farid Abdul Jalal, 2008


            Seni dan budaya Gamelan Melayu merupakan salah satu warisan budaya dan kesenian negara yang menjadi produk utama pelancongan di Malaysia. Alunan muzik Gamelan Melayu ini mempunyai keunikan dan keistimewaan yang tersendiri yang mampu menonjolkan identiti Malaysia di mata dunia. Seni dan budaya Gamelan Melayu menjadi daya tarikan pelancong dari pelbagai negara untuk datang melawat ke Malaysia.  Gamelan Melayu kerap dipersembahkan dalam pelbagai acara dan persembahan sebagai salah satu langkah untuk memelihara seni dan budaya dalam memartabatkannya sebagai warisan bangsa supaya tidak lenyap ditelan zaman. Pada suatu ketika dahulu, Gamelan Melayu ini hanya dimainkan untuk upacara keraian dan hiburan di istana sahaja tetapi kini muzik Gamelan Melayu semakin bersifat komersil apabila ia telah dipasarkan secara menyeluruh di seluruh negeri bahkan seluruh dunia melalui persembahan-persembahan yang diadakan dan juga aktiviti mempromosikan seni Gamelan Melayu ini.

Kini Gamelan Melayu terus mendapat sambutan dan semakin popular di mainkan oleh setiap individu daripada pelbagai peringkat umur tanpa mengira bangsa dan warna kulit. Dalam proses menyemarakkan keindahan dan kegemilangan seni Gamelan Melayu sebagai tradisi dan lambang warisan negara Malaysia, ia sudahpun mula di ajar di peringkat sekolah-sekolah, universiti, institusi-institusi dan juga agensi – agensi kerajaan. Menggunakan pendekatan gubahan dan alunan muzik masa kini yang lebih bersifat kotemporari menjadikan Gamelan Melayu ini lebih asyik dan menyeronokkan untuk dimainkan. Secara langsung melalui pendekatan yang digunakan, ia dapat menawan hati pelancong-pelancong di luar negara untuk menyaksikan keistimewaan persembahan Gamelan Melayu ini.



 “ Adalah menjadi tanggungjawab bagi rakyat Malaysia untuk memastikan setiap tetamu kita dilayan dengan penuh hormat dan berbudi bahasa di samping memperkenalkan tarikan-tarikan indah yang banyak terdapat di Malaysia”

                                                            4 Januari 2014
YB Dato' Seri Mohamed Nazri Tan Sri Abdul Aziz

Sempena Tahun Melawat Melaysia 2014, pelbagai kempen dan promosi dilaksanakan untuk mengwar-warkan aktiviti kesenian dan kebudayaan yang terdapat di Malaysia dalam misi memperkenalkan Malaysia serta menggalakkan pemahaman yang lebih baik mengenai keistimewaan budaya dan warisan yang terdapat di negara khatulistiwa ini. Menurut Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, YB Dato' Seri Mohamed Nazri Tan Sri Abdul Aziz yang menggesa semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan latar belakang untuk bersatu dan memberikan sokongan mereka dalam memastikan kejayaan Tahun Melawat Malaysia 2014 sejajar dengan konsep "Kita Adalah Tuan Rumah" (We Are The Host)[1]. Justeru itu, sudah menjadi tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia untuk menonjolkan kelebihan dan keunikan seni dan budaya yang terdapat di Malaysia seperti Gamelan Melayu terutamanya. Sebagai langkah menyemarakkan seni Gamelan Melayu ini pada setiap dua tahun sekali akan berlangsungnya “Festival Gamelan Sedunia” yang diadakan di negeri Terengganu.

            Festival Gamelan Sedunia ini mula dilaksanakan pada tahun 2008, 2010 dan seterusnya pada 25 Oktober 2013 tahun lalu. Menurut Pengarah Lembaga Muzium Terengganu Mohd Yusof Abdullah (2013), festival kali ketiga ini merupakan usaha berterusan selepas Festival dan symposium Gamelan yang diadakan pada 2008 dan 2010[2]. Pelbagai aktiviti dan program yang telah dijalankan bagi menyemarakkan festival tersebut seperti pameran, persembahan gamelan dan gerai jualan. Festival Gamelan Sedunia yang berlangsung pada tahun 2013 itu turut mengumpulkan beberapa kumpulan dari luar negara seperti kumpulan Gamelan Bali, Jepun, Jawa, Kumpulan Gamelan Melayu United Kingdom dan China. Tidak ketinggalan, turut menyertai beberapa kumpulan gamelan tempatan dan professional tempatan seperti Hand Percussion, Kumpulan Pak Ngah, Kumpulan Gamelan Istana Budaya dan beberapa kumpulan dari Institusi Pengajian Tinggi Awam Dan Swasta. Bengkel gamelan turut diadakan sebagai salah satu pengisian program Festival Gamelan Sedunia tersebut yang memfokuskan kepada permainan alatan muzik gamelan Melayu, bali dan Jawa yang dikendalikan oleh pakar muzik gamelan. Memandangkan Gamelan Melayu terkenal di negeri Terengganu, program besar seperti Festival Gamelan Sedunia ini menjadi penyumbang utama kepada industri pelancongan di Malaysia dalam merealisasikan hasrat menjadikan negeri Terengganu sebagai destinasi khusus yang menjadi ikon kesenian gamelan dunia.






[1] MOTAC. (Januari 4, 2014). Pelancaran Gilang – Gemilang Tahun Melawat Malaysia 2014. Dimuat turun pada 1 Mac 2014 dari laman web http://www.motac.gov.my/bm/media/siaran-media/706-pelancaran-gilang-gemilang-tahun-melawat-malaysia-2014.html

[2] Bernama. (19 Sept, 2013).  LMNT Anjur Festival Gamelan Sedunia 2013 Martabatkan Seni Gamelan. Di muat turun pada 31 Mac 2014 dari laman web https://my.news.yahoo.com/lmnt-anjur-festival-gamelan-sedunia-2013-martabatkan- seni-101315042.html