Sejarah menunjukkan
bahawa Gamelan Melayu mula diperkenalkan pada tahun 1811 apabila sekumpulan
penari dan pemuzik bersama instrumen muzik gamelan di bawa dari istana
Riau-Lingga untuk menyerikan majlis perkahwinan diraja iaitu Wan Esah adinda kepada
pemerintah Pahang. Bendahara Tun Ali (1806 – 1857) dengan Tengku Hussain putera
sulung kepada sultan Riau-Lingga (Sultan Mahmud Syah III (1761 – 1812) yang
berlangsung di Pekan, Pahang. Seni dan budaya persembahan Gamelan Melayu ini
terus berkembang di negeri Pahang dan dikenali sebagai “Joget Pahang” dan
perkembangan muzik gamelan turut digambarkan dalam penulisan Frank Swettenham
(pegawai British) yang berjudul “A Malay Nautch” yang menjadi tetamu istana
Sultan Ahmad al-Muadzam Shah (1882-1914) pada tahun 1875 di Pekan, Pahang
sebagai sesuatu yang unik dan sangat berharga yang jarang dilihat oleh orang
Eropah.
"Had
the performance I now describe nearly resembled any of those commonly seen
here, or in the Peninsula, there could be little interest in this description,
but in the belief that the sight as I saw it is a rare one, seldom witnessed by
Europeans, and so far undescribed, I have ventured to offer it, as it may, to
some, be interesting."
Sir Frank A. Swettenham
'A Malay Nautch' - a paper read at a meeting of the Straits Branch
of the Royal Asiatic Society in Singapore, August 1878.
'A Malay Nautch' - a paper read at a meeting of the Straits Branch
of the Royal Asiatic Society in Singapore, August 1878.
Menerusi
persembahan di upacara perkahwinan, kesenian gamelan ini terus berkembang di
negeri Terengganu sebagai hiburan eksklusif bagi keluarga diraja. Di mana Joget
Pahang dipersembahkan di majlis perkahwinan Tengku Long, puteri Sultan Ahmad
dengan Sultan Zainal Abidin III (1881 – 1918) dari Terengganu pada 1885 dan
Baginda telah tertarik kepada seni gamelan dan meneruskan kesenian gamelan
Melayu ini di istana Terengganu. Tengku Ampuan Mariam, puteri Sultan Ahmad
telah berkahwin dengan Tengku Sulaiman (1875 – 1942), putera Sultan Zainal
Abidin III dan bersama-sama pasangan diraja Terengganu ini telah mengangkat
seni gamelan Melayu ke zaman kegemilangannya (1914 – 1942). Malangnya seni dan
budaya Gamelan Melayu lenyap seketika apabila berlaku Perang Dunia II (1941)
dan penaungnya Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah telah mangkat pada tahun 1942
dan sejak ketika itu, set gamelan telah tersimpan sepi di Istana Kolam yang merupakan
kediaman Tengku Ampuan Mariam.
Tan Sri Dato’ Dr. Hj.
Mubin Sheppard merupakan Pengarah Muzium Negara (1958 – 1963) telah menemui
instrumen gamelan apabila beliau menjalankan kajian seni ukiran Melayu di
Istana Kolam dan telah tercetus idea untuk menghidupkan semula seni gamelan
tersebut. Setelah diperkenan izin daripada Tengku Ampuan Mariam, beliau
berusaha menghimpunkan semula pemuzik-pemuzik lama seperti Encik Muhammad bin
Ismail (Pak Mat) seorang pemuzik istana pada suatu ketika dahulu dan penubuhan
kumpulan penari yang di beri tunjuk ajar oleh Puan Adnan binti Abdullah (Mak
Nang) yang merupakan bekas penari istana. Kumpulan gamelan baru yang ditubuhkan
itu, dikenali sebagai Orkes Gamelan Diraja Terengganu dan telah membuat
kemunculan pertamanya pada tahun 1969 di Pesta Muzik dan Drama Asia Tenggara
dan Temasya (1970) yang berlangsung di Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
Demikian sejarah
menceritakan segalanya dan pada tahun 1973 set gamelan di Istana Kolam telah
diserahkan kepada kerajaan Pahang dan kini dipamerkan di Muzium Sultan Abu
Bakar di Pekan, Pahang. Di sebalik instrumen yang dipamerkan itu tidak ternilai
harga kerana ia merupakan seni warisan yang terpendam yang perlu terus dihayati
dan keindahannya untuk generasi akan
datang.
0 comments:
Post a Comment